Rabu, 2 Mac 2011

5 Tips Percutian Bajet

Terdapat beberapa perkara yang perlu diambil berat ketika anda merancang untuk bercuti ke mana jua destinasi percutian pilihan anda. Apa yang pasti, anda perlu memastikan tahap kewangan anda berada di tahap yang benar- benar membolehkan anda melakukan percutian tanpa perlu bimbang akan kesempitan wang pada akhirnya nanti.



Pilihan Destinasi Percutian


Keputusan pertama yang perlu dilakukan ketika hendak bercuti ialah memilih destinasi yang benar-benar anda ingin pergi dan bukannya sekadar berniat hendak bercuti semata-mata namun tidak begitu pasti ke mana arah tujuan destinasi.
Anda boleh melakukan beberapa carian di internet jika kurang pasti mengenai pilihan destinasi anda. Pilih agensi pelancongan yang diiktiraf sahaja. Risalah-risalah mengenai destinasi percutian juga boleh membantu anda memilih dan membuat keputusan dengan tepat.


Membuat Perancangan Perjalanan


Rancang perjalanan anda terlebih dahulu dengan memilih sistem pengangkutan untuk ke sana sama ada melalui darat, laut mahupun udara. Usah risau, tiket penerbangan boleh didapati dengan harga yang murah kini seandainya anda melakukan tempahan beberapa bulan lebih awal.

Jika anda memilih untuk menaiki bas, pastikan anda memilih konsortium bas yang sudah diperakui mutu perkhidmatannya. Jika anda memilih untuk berkenderaan sendiri atau kenderaan sewa, hantar kenderaan tersebut untuk diservis terlebih dahulu untuk mengelakkan berlakunya sebarang perkara yang bakal merosakkan ‘mood’ percutian anda nanti.

‘Backpack’ Pilihan yang Terbaik

Ya, jika anda dalam percutian bajet, ‘backpack’ adalah yang alternatif terbaik untuk anda. Barangan yang dibawa pulang dari bercuti kadangkala menjadi 2x ganda lebih banyak berbanding dengan barangan yang dibawa sebelumnya.

Perkara ini satu kelaziman kerana beg anda akan dipenuhi dengan buah tangan mahupun cenderahati untuk sahabat terdekat dan famili tersayang.
Untuk mengelakkan kesulitan membawa barangan yang berlebihan, pilih barangan yang perlu sahaja untuk dibawa bersama. Tidak perlu membawa tuala yang besar memadai dengan hanya tuala kecil atau sederhana. Adalah lebih baik jika anda menggulung daripada melipat pakaian anda untuk menjimatkan ruang di dalam beg selain dapat mengurangkan kedutan pakaian.

Anda juga dinasihatkan supaya membawa beg simpanan mudah lipat untuk kegunaan kecemasan. Beg tersebut juga boleh digunakan untuk mengisi barangan anda yang berlebihan sewaktu perjalanan pulang dari bercuti nanti.

Perbelanjaan

Jika destinasi percutian anda di luar Malaysia, periksa dahulu kadar tukaran matawang negara yang anda ingin tujui. Untuk mendapatkan tukaran matawang yang berbaloi, tukar dahulu wang anda melalui bank atau premis-premis tukaran wang asing di Malaysia. Ini dapat mengelakkan anda daripada merasa tertipu jika mendapat nilai tukaran yang lebih rendah di negara-negara destinasi anda.

Catat setiap perbelanjaan yang anda lakukan sepanjang percutian anda nanti. Perbelanjaan tersebut termasuklah penginapan, makan minum, tambang pengangkutan, caj-caj tertentu (bayaran masuk ke tempat lawatan misalnya) dan bermacam lagi. Catatan ini dapat membantu anda mengawal perbelanjaan pada sepanjang percutian.

Untuk kesenangan anda, pilih pakej percutian yang turut menyediakan aktiviti dari hari pertama percutian anda sehinggalah pada hari yang terakhir. Pilihan pakej seperti ini dapat menjimatkan wang anda selain tidak perlu bimbang akan dikenakan caj-caj tertentu yang kadangkala anda sendiri tidak tahu dari mana datangnya.

Keselamatan


Percutian bersama rakan-rakan amat menyeronokkan. Namun, berhati-hati jika anda berhajat ingin berada jauh dari lingkungan sahabat anda.

Tinggalkan pesanan kepada sesiapa yang berada di dalam kumpulan tersebut sebelum anda bertindak sedemikian. Ambil langkah berjaga-jaga seperti meminta seorang teman untuk menemani anda.

Kegembiraan ketika bercuti boleh bertukar menjadi tragedi pada bila-bila masa sahaja. Jadi, sentiasa beringat dan ambil langkah berjaga-jaga serta berfikir dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. Ambil insurans perlindungan jika perlu. Amalkan sikap bersederhana dan usah terlalu menunjuk-nunjuk untuk mengelakkan diri anda daripada menjadi perhatian golongan yang berpotensi mendatangkan bahaya kepada anda.

Komentar :

ada 0 ulasan ke “5 Tips Percutian Bajet”

Catat Komen

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

© 2009 Fresh Template. Powered by Blogger.

Fresh Template by NdyTeeN.