Rabu, 2 Mac 2011

"Jangan Menyusahkan Diri Sendiri dan Jangan Menyusahkan Kami"

SHAH ALAM – “Jangan menyusahkan diri sendiri dan jangan menyusahkan kami” kata pengawal keselamatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam melahirkan rasa terkilan dan kecewa dengan sikap segelintir pelajar dan kakitangan universiti yang tidak menghormati atau menghargai mereka.



Penolong Pegawai Keselamatan, Mohd Fakarul Radzi b. Mahadi berkata, ini melemahkan semangat mereka untuk menjalankan tanggungjawab yang diberikan untuk menguatkuasakan undang-undang universiti.

“Tugas kami di sini adalah untuk menguatkuasakan undang-undang, namun apabila kami menjalankan tugas, kami menerima herdikan dan makian.”


Ujarnya lagi, sekiranya berlaku sebarang kecelakaan, walaupun akibat kecuaian atau kesalahan pelajar atau kakitangan sendiri, sekali lagi pengawal akan dipersalahkan kerana tidak melakukan kerja.

Laman You Tube yang mendapat lebih 2000 kunjungan
Tambahnya, “Apa yang lebih mengecewakan adalah apabila dikalangan pensyarah dan kakitangan sendiri turut bersikap biadap terhadap kami.”

“Seharusnya sebagai pensyarah mereka menunjukkan teladan yang baik, tetapi di sini pensyarah juga menunjukkan sikap yang kurang beradab.”

Menurutnya, kakitangan UiTM tidak mengira peringkat seharusnya saling menyokong, menghormati dan bertolak ansur antara satu sama lain demi kebaikan bersama namun, sikap segelintir kakitangan yang seakan ‘memandang sebelah mata’ kepada mereka amat mengecewakan.

Facebook "Benci Pak Guard"
Selain itu, Fakarul meluahkan rasa kesal terhadap kewujudan laman khas di facebook seperti ‘Kami Benci Pak Guard UiTM’ yang mendapat bilangan pengikut mencecah 1000 orang dan juga lagu yang dicipta khas bagi menyatakan rasa benci kepada pengawal keselamatan UiTM di ‘youtube’ yang mendapat kunjungan lebih 2000 kali.

Rintihnya, “Apa yang telah kami lakukan sehingga kami dibenci? Apa sebenarnya yang pelajar inginkan dari kami? Apabila kami menjalankan tugas, kami dibenci, apabila berlaku permasalahan kami dimarahi.”

Fakarul bagi pihak semua pengawal keselamatan UiTM menyeru agar mereka diberikan sekelumit penghargaan atau setidaknya sedikit rasa hormat atas tugas yang mereka lakukan.

“Kami bukanlah mahu penganugerahan yang hebat, cuma sekadar mendapat kerjasama bagi memudahkan semua pihak, itu sudah cukup memadai.”

Komentar :

ada 0 ulasan ke “"Jangan Menyusahkan Diri Sendiri dan Jangan Menyusahkan Kami"”

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

© 2009 Fresh Template. Powered by Blogger.

Fresh Template by NdyTeeN.