Rabu, 2 Mac 2011

Amanat VC - Sahol Bangga Guna Facebook berhubung dengan pelajar

SHAH ALAM: Dato' Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, Naib Chanselor UiTM dalam amanatnya baru-baru ini meluahkan rasa bangga kerana mampu mendekati pelajar dengan menggunakan laman sosial Facebook.

Sahol berkata, beliau berasa bangga kerana dapat meluangkan masa untuk menjawab sendiri isu serta soalan yang diajukan oleh para pelajar melalui laman facebook dan beliau amat menyayangi pelajar-pelajar seperti seorang ayah menyayangi anaknya.

“Sebagai ayah sayangkan anak, jikalau ayah sendiri tidak dengar keluhan anak, siapa yang nak dengar? Pelajar adalah seperti pelanggan kami, dalam perniagaan pendidikan, adalah tanggungjawab kami untuk memastikan pelanggan kami gembira” katanya pada 10 Januari yang lalu.

Beliau juga berkata Facebook UiTM telah banyak membantunya ketika peristiwa banjir di Johor Bharu untuk berkomunikasi dan menyalurkan maklumat serta bantuan kepada pelajar.

“Kita harus bijak dalam mengaplikasikan jaringan sosial seperti Facebook ini dengan memberikan pelajar keyakinan dan kepastian bahawa UiTM serius dalam memberikan servis tetapi pada masa yang sama pelajar harus memahami mesej dari saya.”tambah beliau.

“Baru-baru ini kaji selidik telah dilakukan melalui Facebook mengenai isu parking, kebanyakan pelajar bersetuju bahawa polisi pelajar tidak dibenarkan membawa kenderaan di dalam kampus dan InsyaAllah itu akan menjadi polisi yang nyata pada masa akan datang” ujar beliau.

Dalam pada itu, Sahol juga turut menyatakan rasa bangga bahawa hasil pemantauan laman Facebook UiTM dikatakan mempunyai komunikasi yang paling tertib berbanding laman yang dikendalikan oleh IPT-IPT yang lain.
Beliau mengucapkan tahniah kepada pelajar dan juga kakitangan UiTM kerana menggunakan laman sosial Facebook dengan sebaik-baiknya dan berharap berita baik ini dapat dikekalkan pada masa akan datang.

Komentar :

ada 0 ulasan ke “Amanat VC - Sahol Bangga Guna Facebook berhubung dengan pelajar”

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

© 2009 Fresh Template. Powered by Blogger.

Fresh Template by NdyTeeN.