Rabu, 2 Mac 2011

Personaliti : Pepatun Artwork

Pepatun Artwork: Patung kertas dari bahan terbuang


Siapa sangka, bahan-bahan buangan seperti kotak minuman, kertas dan plastik yang seringkali kita lihat bertaburan di jalan-jalan raya mahupun di mana sahaja ini rupanya mempunyai nilai seni yang tinggi buat enam anak muda yang merupakan penuntut Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) UiTM Shah Alam. 

Buktinya, enam anak muda ini telah menggunakan sepenuhnya daya kreativiti yang mereka ada untuk mengolah semula bahan-bahan buangan tersebut ke dalam bentuk robot-robot kertas yang unik dan menarik.




Ceritakan serba sedikit tentang kolektif Pepatun Artwork.

Idea asal untuk menubuhkan Pepatun datangnya daripada dua rakan baik iaitu Mohamad Hanif Asri dan Mohamad Zainuri Ramlan. Bagi kami, nama Pepatun sengaja dipilih bagi mewakili imej hasil karya kami yang punya nilai seni tersendiri. Label Pepatun Artwork ini mula diwujudkan pada penghujung tahun 2007, ketika itu kami telah diberi peluang untuk membuat jualan di fakulti kami di UiTM Perak. Penerimaan baik yang kami terima telah membuatkan kami lebih bersemangat untuk terus berkarya dengan lebih serius.

Antara ahli Pepatun Artwork

Sejak mula ditubuhkan kami memang begitu aktif menyertai pameran seni serta bazaar kraft yang disertai oleh pelbagai kumpulan seni jalanan. Kami sangat tekad dalam berusaha mempromosikan hasil produk kami dan kini Pepatun Artwork telah disertai oleh beberapa ahli baru yang merupakan rakan kami dari fakulti yang sama iaitu Mohamad Hafeezan Sulaiman, Muhammad Ridhwan Nasir, Ahmad Fadzlee Abu Samah,dan Ahmad Syafiq Abdul Aziz.

Kami di Pepatun masing-masing berkongsi misi dan moto yang sama dalam menghasilkan karya yang tersendiri iaitu "pemikiran harus kreatif". Kelainan utama yang membuatkan Pepatun punya keunikan tersendiri serta tidak sama seperti karya label lain ialah hasil produk kami sendiri. Kami memilih medium yang lain daripada orang lain dalam berkarya, misalnya di sini menggunakan kotak-kotak minuman terbuang. Kami akan merancang dan mendahulukan  konsep sebelum menghasilkan sesebuah produk. Selalunya apa yang kami lakukan ialah berbincang dan berkongsi pendapat bersama Pepatun Rangers yang lain kerana setiap daripada kami punya sudut pandangan kreatif yang berbeza lalu apabila kami bersama-sama bergabung idea, akan terhasillah karya yang menarik dan memuaskan hati kami.

Selaras dengan usaha kami untuk mempelbagaikan serta meningkatkan lagi hasil seni kraft tempatan, kami turut bertujuan mahu mengenengahkan pelbagai jualan produk yang berteraskan hasil kerja tangan. Kini, hasil handmade artwork sering mendapat perhatian daripada anak-anak muda kita. Kami juga menyokong saranan agar anak muda kita membeli barangan buatan tempatan. Selain daripada itu, Pepatun juga boleh dikatakan berfungsi sebagai sebuah medium untuk para peminat serta kumpulan-kumpulan seni yang lain menyampaikan pendapat mereka tentang pelbagai perkara.

Bagaimanakah penerimaan orang ramai terhadap Pepatun?

Alhamdulillah, kebanyakannya menerima dengan baik apa yang kami lakukan. Ia merupakan suatu permulaan bagus buat Pepatun. Kami begitu berpuas hati kerana para peminat seni dan pelanggan kami tahu tentang keunikan dan nilai estatik sesebuah karya yang kami hasilkan. Dan kami begitu bersyukur kebanyakan orang yang terdiri daripada keluarga, rakan sekuliah serta peminat kami sendiri memberikan sokongan yang kuat pada kami untuk terus maju dalam apa yang kami usahakan kini.

Apakah pencapaian terbaik Pepatun setakat ini? 

Lonely Soldier Bot
Pencapaian terbaik kami setakat ini ialah projek kolaborasi bersama kumpulan Hujan. Kami menghasilkan ‘Lonely Soldier Bot’, iaitu sebuah model aksi yang bertemakan pahlawan samurai Jepun. Lonely Soldier Bot dihasilkan menggunakan material yang sama seperti produk kami yang lain, ia merupakan sebuah rekaan yang dibuat khas sempena pelancaran album ketiga Hujan iaitu ‘Lonely Soldier Boy’.

Kami sentiasa terbuka untuk melakukan kolaborasi dengan mana-mana pihak yang serius dalam berkarya, kerana selain dapat menimba pengalaman berharga secara tidak langsung kegiatan kolaborasi seperti ini juga turut membuka pintu peluang yang lebih luas untuk Pepatun terus melebarkan sayapnya pada masa akan datang.

Berapa banyak pameran atau bazaar kraft yang telah Pepatun sertai?

Boleh dikatakan kami sudah menyertai hampir 30 buah pameran serta bazaar kraft di sekitar Ipoh, Pulau Pinang, Shah Alam dan juga Kuala Lumpur. Seperti yang telah kami beritahu awalnya, jualan pertama Pepatun adalah di UiTM Perak. Kemudian, antara acara-acara yang pernah kami sertai ialah Pekan Frinjan di Shah Alam, Rockapedia di Galeri Annexe Pasar Seni, Rantai Art di Balai Seni Lukis Negara dan yang terbaru ialah Art Market bertempat di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Shah Alam.

Apakah harapan Pepatun terhadap masyarakat am khususnya?

Strawbot Anatomic
Kami berharap agar lebih ramai lagi khalayak kita dapat menerima kelainan yang dibawa oleh Pepatun serta kumpulan-kumpulan seni yang lainnya. Mungkin ada yang berpendapat apa yang kami lakukan ini tidak mendatangkan apa-apa kebaikan selain daripada membazir tenaga dan membuang masa sahaja. Namun kami tidak berfikiran sebegitu, sebaliknya kami lihat inisiatif penubuhan Pepatun ini sebagai ruang untuk kami sampaikan kepentingan seni kami kepada masyarakat.

Kami tidak membazir masa dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah. Kami bergiat aktif dalam menghasilkan karya-karya kami, dan kami mendapat kepuasan daripadanya. Segala penat lelah kami menaikkan nama Pepatun berbayar apabila semakin ramai rakan-rakan dan peminat yang menyatakan sokongan mereka terhadap usaha kami. Jadi dari situ kami dapat simpulkan, segala kerja yang kami lakukan tidaklah sia-sia semata. Dan anak-anak muda kita semakin bijak menilai serta menghargai suatu hasil seni. Itu suatu perkembangan yang harus dibanggakan.

Komentar :

ada 0 ulasan ke “Personaliti : Pepatun Artwork”

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

© 2009 Fresh Template. Powered by Blogger.

Fresh Template by NdyTeeN.