Rabu, 2 Mac 2011

Trend Mewarnakan Rambut

Dalam dunia yang serba moden kini, kemudahan teknologi yang sedia ada digunapakai dengan sepenuhnya oleh manusia. Katakan apa saja yang ingin diubah pada bahagian tubuh, semuanya boleh dilakukan. Hendak mencacah muka supaya digeruni, menyedut lemak untuk tampil langsing menawan, memanjangkan kaki untuk kelihatan tinggi, pendek kata tiada apa yang mustahil untuk dilakukan.

Begitu juga halnya dengan trend mewarnakan rambut kini. Kegilaan mewarnakan rambut ini bukan sahaja didominasi oleh kaum wanita, malah kaum lelaki turut terikut-ikut hendak kelihatan ‘hip’ dan ‘semasa’ dengan membuat transformasi warna rambut mereka kepada pelbagai jenis warna seperti perang, hazel dan sebagainya.


Jika ditanya mengapa, mungkin beribu jenis alasan akan diberikan sekadar hendak merasionalkan tindakan mereka yang sememangnya jelas bertentangan dengan budaya timur dan ajaran Islam. Hendak kelihatan cantik, mahu kelihatan seperti artis idola, sekadar mahu mencuba penampilan baru dan pelbagai lagi alasan.

Trend yang dimulakan daripada Barat ini semakin mendapat tempat di hati remaja kita. Ternyata masih ada di kalangan kita yang dangkal dan cetek pemikirannya kerana begitu mementingkan kecantikan luaran sahaja berbanding dalaman walhal bukan itu yang ditekankan di dalam Islam. Mari bersama kita dekati isu ini dengan meneliti kebaikan serta keburukannya daripada beberapa perpektif yang berbeza.

Pandangan sudut psikologi
Secara psikologinya, kebanyakan pelajar mewarnakan rambut kerana pertamanya adalah faktor dalaman. Mereka merasa rendah diri dengan rupa asal lalu mahu menampilkan sedikit kelainan pada wajah mereka. Mereka gemar bertukar-tukar warna untuk mendapatkan hasil yang serasi dengan diri mereka. Hal demikian kerana setiap individu memiliki kulit dan gaya rambut yang berbeza. Maka, mereka akan melakukan beberapa percubaan dalam mewarnakan rambut untuk kelihatan lebih menawan dan bergaya.
           
Selain itu, mereka sentiasa ingin menjadi ‘up-to-date’ supaya mudah didampingi oleh ramai orang. Mereka berpendapat bahawa sekiranya mereka mempunyai rambut yang cantik dengan warna yang menawan, mereka akan mencuri pandangan setiap orang yang melihat lebih-lebih lagi di kawasan tumpuan orang awam ‘mencuci mata’.

Tambahan pula, rakan-rakan juga turut memberi pengaruh kepada pelajar-pelajar yang mewarnakan rambut ini. Mungkin pada awalnya, niat di hati hanya ingin menggayakan potongan rambut tetapi apabila rakan-rakan mencadangkan mereka supaya mewarnakan rambut dengan memberi jaminan bahawa mereka akan kelihatan lebih anggun, sifat ingin mencuba timbul lantas mereka terpengaruh dengan pujukan rakan.
           
Kurang pendidikan agama juga merupakan salah satu faktor penting yang membuatkan gejala mewarnakan rambut ini semakin berleluasa. Hal ini berlaku kerana terdapat ramai di antara kita yang kurang atau jahil terhadap hukum hakam agama. Mereka pada realitinya tidak memahami konsep mewarnakan rambut yang bagaimanakah dibenarkan di dalam Islam dan terus menerus sahaja mewarnakannya tanpa meneliti terlebih dahulu pendapat daripada alim ulama.
           
Misalnya, ajaran Islam telah menetapkan bahawa orang tua tidak dibenarkan mewarnakan rambutnya dengan warna hitam kerana dikhuatiri wujud penipuan usia. Mereka sepatutnya mewarnakan rambut dengan warna seakan-akan kekuningan seperti inai.  Namun begitu, orang muda dibenarkan mewarnakan rambut dengan apa-apa produk selagi ia bebas dari najis dan tidak menghalang air untuk sampai ke anggota wuduk atau ketika mandi hadas.

Hukum mewarnakan rambut di dalam Islam
Terdapat banyak pandangan dan pendapat yang dikemukakan oleh masyarakat alim ulama berdasarkan hadis dan sebagainya. Jadi di sini kita ingin melihat sejauh manakah hukum halal dan haram menurut Islam tentang isu ini. Islam adalah agama yang mementingkan kebersihan dari kecantikan. Ini selaras dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah itu cantik dan sukakan kecantikan dan ia bersih dan sukakan kebersihan“

Oleh yang demikian, perbuatan mewarnakan rambut selain daripada warna hitam adalah harus dengan syarat pewarna tersebut tidak mengandungi bahan-bahan najis dan telap air serta tidak bertujuan untuk menunjukkan kecantikan kepada orang lain. Ulama telah bersepakat mengharuskan mencelup warna rambut dari warna hitam ke warna lain seperti merah dan lain-lain, samada dengan inai dan apa jua pewarna yang dibenarkan syarak.

Namun, ianya diikat dengan syarat-syarat tertentu seperti pewarna tersebut bukannya jenis yang kekal, jika tidak ia dikira mengubah ciptaan Allah SWT yang diharamkan. Selain itu, kita perlu menggunakan pewarna yang suci dan halal dan tidak mengakibatkan kemudaratan terhadap kesihatan individu seperti kanser, rambut menjadi kering atau rapuh serta bahaya mudarat terhadap janin akibat bahan kimia.

Syarat seterusnya adalah dengan memutihkan rambut iaitu dengan mengikis warna hitamnya yang bertujuan untuk menghasilkan warna rambut yang cantik adalah makruh kerana ia menukar ciptaan asal Allah SWT.

Di sini terdapat terjemahan fatwa dari Dr. Yusof Al-Qardhawi mengenai hukum mewarnakan rambut. Sebahagian dari perkara yang tergolong di dalam masalah perhiasan ialah mewarnakan wambut atau janggut yang telah beruban. Telah datang satu riwayat yang menjelaskan bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani enggan mewarna rambut dan mengubahnya dengan beranggapan, antaranya ialah berhias dan memperelok diri itu dapat menghindarkan erti peribadatan dan beragama. Sebagaimana yang dilakukan oleh para rahib dan ahli-ahli zuhud yang bersikap berlebih-lebihan.

Menurut Dr. Amran Kasimin yang merupakan seorang penceramah terkemuka di sini, beliau berkata bahawa
hukum mewarnakan rambut itu perlu dilihat dari pelbagai aspek, seperti tujuan mewarna, jenis-jenis warna dan pihak-pihak yang terlibat dengan kegiatan mewarna serta kesannya kepada diri, keluarga dan masyarakat.

Sebahagian ulama melarang perbuatan mewarnakan rambut secara mutlak, seolah-olah warna rambut tidak boleh diubah daripada warna asalnya, namun sejauh yang diperhatikan, dalil-dalil yang dikemukakan bagi pengharaman itu tidak lengkap, atau larangan itu hanya kepada lelaki sahaja, sedangkan wanita dikecualikan, atau larangan dikhaskan kepada wanita tua yang mewarnakan rambutnya, supaya kelihatan muda dan bergaya, lalu diminati lelaki yang tertipu dengan rambut kepala yang kononnya masih hitam.

Beliau juga berpendapat, mewarnakan rambut hukumnya harus bagi wanita yang bersuami, jika tujuannya memperlihatkan kecantikan kepada suaminya sahaja, tetapi hendaklah tidak mempamerkannya kepada umum. Amalan ini boleh dimasukkan di bawah tuntutan penjagaan rambut, sebagaimana dalam hadis di atas.
Selain itu menjaga keharmonian antara suami dan isteri sangat besar tuntutannya. Isteri tidak sia-sia, jika rambutnya yang putih itu tiba-tiba kelihatan hitam di hadapan suaminya. Bagaimanapun, wanita lebih suka memperlihatkan kecantikan dirinya kepada orang lain, bukan kepada suaminya.

Abd. Rahman ibn al-Jawzi (114-1201 M.) berpendapat, lelaki juga harus mewarnakan rambut ubannya dengan apa jua warna, termasuk hitam. Beliau menjawab hadis-hadis yang melarang mewarna rambut itu sebagai khusus kepada mereka yang bermotif untuk memelihara nafsu mudanya, sekalipun usianya sudah cukup tua, sehingga tiada tanda-tanda ingin insaf atau semangat kembali kepada cara hidup yang mengutamakan hari akhirat.


Mengapa pelajar kita mewarnakan rambut?
Hasil temubual dengan seorang pelajar jurusan Kimia dan Bioproses, Nooranizha Othman, 21, beliau memberitahu antara sebab beliau mewarnakan rambut adalah untuk tampil cantik dan mengikut trend masa kini. Beliau telah mewarnakan rambut dengan pelbagai warna dan akan meminta nasihat daripada ‘hairstylist’ sebelum mewarnakan rambut. Menurutnya, beliau menghadapi masalah keguguran rambut yang teruk kesan daripada kerapkali menggunakan pewarna rambut.

Walaupun terpaksa mengeluarkan duit yang banyak untuk mewarnakan rambut di salun dan membeli produk penjagaan rambut yang rata-ratanya mahal, beliau merasakan ia sangat berbaloi andainya gaya warna rambut yang digunakan membuatkan wajahnya tampak lain dan menawan.

Selain itu, seorang penuntut dalam bidang Perkhidmatan Makanan, Amirul Ashraf Muhd Johari, 22, berkata beliau mewarnakan rambut untuk kelihatan bergaya dan moden. Pada awalnya, beliau hanya berniat untuk melakukan percubaan atas pujukan rakan-rakan sebaya. Tetapi apabila sudah mencubanya beberapa kali, beliau mendapati hasilnya begitu memuaskan hatinya.

Menurut beliau, tampak sedikit kelainan pada wajahnya apabila mengenakan warna rambut yang jarang digunakan oleh orang lain seperti warna terang iaitu merah. Dek kerana itu, beliau seringkali mendapat teguran daripada para pensyarah dan pernah beberapa kali disaman oleh pengawal keselamatan UiTM tetapi semua itu tidak diendahkannya.
Bagi beliau, mewarnakan rambut telah membantu meningkatkan tahap keyakinan diri beliau yang selama ini sering merasa rendah diri dengan penampilannya. Sebagai seorang lelaki, beliau berpendapat bahawa masalah-masalah seperti rambut bercabang, kering dan keguguran bukanlah penghalang untuk beliau terus memperagakan rambutnya.

Kesan buruk mewarnakan rambut menurut pakar
Bahan-bahan kimia yang digunakan di dalam pewarna rambut telah terbukti akan memberikan kesan buruk terhadap penggunanya, baik dalam jangka pendek mahupun panjang.

kesan sampingan pewarna rambut

Menurut seorang pakar, antara kesan-kesan daripada mewarnakan rambut ialah timbulnya alahan atau keradangan pada kulit. Ini biasanya dialami oleh pengguna yang baru pertama kali menggunakan produk mewarnakan rambut.

Selain daripada itu, terdapat juga dalam sesetengah kes di mana pengguna mengalami iritasi pada bahagian atas kelopak mata namun itu masih lagi dikira alahan yang tidak membahayakan.

Antara bahan kimia berbahaya yang terkandung di dalam pewarna rambut ialah P-Phenylenediamine (PPD), ianya merupakan merupakan bahan kimia yang paling toksik dan paling banyak terkandung di dalam satu-satu pewarna rambut.

Di dalam kajian yang telah dilakukan di luar negara, PPD merupakan toksik yang sangat merbahaya terhadap kulit , sistem imun badan, sistem saraf, buah pinggang dan hati. Di Kanada dan beberapa negara Eropah yang lain, penggunaan PPD di dalam pembuatan kosmetik adalah dilarang.

Daripada pandangan seorang pendandan rambut pula, Shafawati Muhtar, 26, beliau berkata mewarnakan rambut dengan kerap hanya akan menyebabkan rambut menjadi kasar dan kering, tidak bersinar serta rambut akan mudah putus dan bercabang.

Apabila ditanya apakah solusi terbaik untuk memulihkan rambut yang rosak akibat diwarnakan secara berlebihan, beliau mencadangkan agar penggunaan pewarna rambut tersebut dihentikan serta merta bagi mengelakkan masalah lain timbul.

Setelah meneliti tentang isu mewarnakan rambut ini menurut tiga pandangan berbeza seperti yang tertulis di atas, terpulanglah kepada setiap individu untuk menilai sama ada baik atau tidak tindakan mewarnakan rambut itu bagi mereka. Bagi kita yang beragama Islam, perlulah lebih mengutamakan hukum agama dan mengenepikan segala tindakan yang jelas bertentangan dengan ajaran suci kita sendiri. 

Komentar :

ada 0 ulasan ke “Trend Mewarnakan Rambut”

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

© 2009 Fresh Template. Powered by Blogger.

Fresh Template by NdyTeeN.