Rabu, 2 Mac 2011

Membudayakan Al-Quran dikalangan Remaja



Allah SWT berfirman maksudnya: “Orang-orang yang Kami turunkan kitab kepadanya, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itulah yang beriman dengan Kitab itu; dan sesiapa yang mengingkarinya, mereka itulah orang yang rugi”. (Surah Al-Baqarah, ayat 121).



            Bagi yang benar-benar menghayati, kitab suci Al-Quran Kalamullah bukan sekadar pusaka peninggalan Rasulullah SAW semata-mata. Mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW yang diturunkan secara berperingkat selama 23 tahun ini, diamanahkan supaya manusia dapat mempelajarinya, menghayati seterusnya mengamalkan segala yang terkandung di dalamnya. Itulah panduan yang terbaik. Pembimbing manusia ke arah gaya hidup sebenar dan panduan untuk menjalani kehidupan yang kekal abadi kelak, dengan cemerlang.

            Pun begitu, fenomena yang berlaku hari ini berbeza dengan apa yang sepatutnya. Generasi hari ini lebih mengagungkan perkara lain berbanding Al-Quran. Hal ini dapat dilihat apabila kebanyakan masyarakat hari ini lebih memandang penting perkara-perkara yang menjurus ke arah keduniaan ataupun duniawi. Jelas sekali apabila ibubapa pada hari ini lebih menekankan anak-anak supaya berjaya dalam pendidikan sekular yang berorientasikan peperiksaan semata. Malahan generasi dewasa ini juga hanya memandang enteng tentang pembelajaran Al-Quran apabila banyak daripada pelajar-pelajar hari ini cuma cemerlang dalam bidang pendidikan namun kurang fasih dalam pembacaan Al-Quran dah lebih teruk apabila masyarakat pada hari ini hanya membaca Al-Quran tanpa mengenal dan memahami isi Kalamullah yang diturunkan dan diwahyukan kepada Rasulullah SAW menerusi Jibril A.S.

            Yang pasti juga, Al-Quran semakin dipinggirkan masayarakat kita. Baik muda mahupun tua. Membacanya pula kini hanya mengikut musim, tidak lagi dianggap amalan yang perlu dilakukan pada setiap hari. Kalaupun ada yang membaca, sekadar melepaskan batuk di tangga. Belajar sekadar saja, ada yang membaca Al-Quran dengan buta hukum. Entah ke mana hukum mad dan panjang pendeknya. Terdapat juga segelintir yang beranggapan bahawa asalkan membaca ianya sudah memadai. Sedangkan membaca Al-Quran dengan betul hukum dan disiplinnya adalah fardhu ain bagi setiap umat Islam. Tersilap menyebut satu hurufnya saja sudah boleh mengubah makna satu-satu ayat tersebut.

Bagi pelajar-pelajar beragama Islam yang sedang menuntut di universiti, adakah mereka sering mengamalkan pembacaan Al-Quran? Adakah terdapat pemantauan terhadap pelajar-pelajar di dalam kampus tentang kepentingan mempelajari dan pemahaman tentang Al-Quran? Sesungguhnya perkara yang mulia perlulah sama-sama saling diberi peringatan. Hal ini kerana, siswazah-siswazah yang menuntut di universiti pada hari ini telah diberi kebebasan untuk melakukan sebarang aktiviti tanpa mengikut takwim yang ketat seperti asrama-asrama di sekolah menengah.

Jadi dapat dilihat dari situ, adakah pelajar-pelajar menghabiskan banyak masa dalam mempelajari Al-Quran serta mengamalkannya? Aktiviti yang sering dilakukan kebanyakan pelajar pada hari ini adalah menghabiskan masa lapang mereka membeli-belah di kompleks-kompleks terkemuka. Tiba hujung minggu kawasan inilah yang menjadi tumpuan remaja berhibur bersama rakan-rakan mereka. Jadi apabila masa dihabiskan membeli-belah, maka adakah mereka akan balik dan terus mempelajari Al-Quran selepas menunaikan solat fardhu? Nah! Apabila keletihan meraja dalam diri setelah pulang bersuka ria, tentulah tiada masa yang akan diluangkan untuk mendalami Al-Quran.

Jadi berdasarkan apa yang dilihat, keutamaan masyarakat pada hari ini perlu diubah. Bagaimana mungkin kita mampu melakukan sesuatu pekerjaan ataupun mampu membuat keputusan dengan baik kalau bukan kalam Allah ini yang dirujuk dahulu. Bagi ibubapa, jangan pembelajaran agama terutamanya Al-Quran diletak di tangga ke belakang dalam usaha membentuk akal minda dan peribadi anak-anak. Letakkanlah keutamaan mempelajari Al-Quran di tempat sepatutnya. Itulah yang bakal menentukan generasi akan datang tidak hanya cemerlang dalam bidang akedemik malah lebih cemerlang akhlak dan moralnya.

            Paling penting, usaha menbina semula generasi celik Al-Quran dalam kalangan umat Islam hari ini perlu bermula dari rumah. Jika contoh yang baik ditunjukkan, maka yang baik jugalah akan menjadi ikutan. Jadi kita perlu berusaha dalam mempelajari dan menghayati kalam Allah ini sebaik mungkin.

            Jika penekanan tidak dimulakan dari awal, kesannya dapat dilihat pada kemudian hari. Apakah yang dimaksudkan dengan kemudian hari? Akan lahirlah insan yang buta Al-Quran. Ibarat benih yang disemai, jika dijaga dengan baik, hasilnya pun baik. Tetapi jika benih yang disemai tidak dijaga dengan baik, hasilnya pula belum tentu baik. Hal ini kerana benih sudah terdedah kepada ancaman yang berada di sekelilingnya. Maka sia-sialah kita membuat batas khas untuk menyemai benih jika aspek-aspek ini diabaikan.

Didikan awal.
Juara Akademi Al-Quran musim kedua, Anuar Hasin, menyatakan pendedahan anak- anak terhadap Al-Quran sewajarnya dimulakan di peringkat awal lagi. Hantarlah anak-anak mengaji seawal mungkin iaitu ketika mereka sudah boleh bercakap atau sudah masuk tadika. Selain itu juga, ibubapa memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan suasana Al-Quran tidak kira di mana sekalipun. Ibubapa boleh membawa anak mereka ke majlis tilawah Al-Quran, memainkan pemain cakera padat atau kaset yang mengalunkan ayat-ayat sama ada di rumah atau di dalam kenderaan”, jelas beliau yang merupakan tutor di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Sudah menjadi kebiasaan kepada kanak-kanak, pada usia inilah mereka lebih suka bermain bersama rakan-rakan. Jika disuruh mengaji atau pergi ke rumah guru yang mengajar membaca Muqaddam, semestinya pelbagai alasan dan karenah yang timbul. Menurut Anuar, ibubapa perlu mengambil pendekatan  lembut terhadap anak-anak yang mempunyai karenah seperti ini. Kelembutan selalunya dapat memujuk mereka untuk mendengar kata-kata kedua ibubapanya. Jika cara ini didapati tidak berkesan, ibubapa perlu bersikap tegas kepada mereka dengan menekankan kepentingan mempelajari Al-Quran.

Jika tidak berkesan juga, kaedah memaksa merupakan langkah yang terakhir yang boleh diambil oleh ibubapa untuk mengelakkan terbentuknya manusia buta Al-Quran.

Belajar berdasarkan kemampuan.
             Bagi mereka yang buta huruf dalam mengenal Al-Quran, anda tidak perlu berasa malu sekiranya baru hendak mula belajar. Gelaran lidah keras sememangnya berlaku. Ini diakui, bahawa mereka yang berada di tahap ini amat sukar untuk diajar berbanding kanak-kanak. Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna pintu mempelajari Al-Quran sudah ditutup. Cukuplah mengajar mereka berdasarkan kemampuan mereka tanpa dipaksa dan perbanyakkan latihan belajar membaca Al-Quran.

            Mempelajari lagu ketika membaca Al-Quran bukanlah satu kewajipan. Tetapi ianya tetap merupakan salah satu alternatif yang boleh dipilih oleh kita. Lagu ini merupakan pelengkap kepada proses pembelajaran membaca Al-Quran secara bertajwid. Jika anak-anak mencapai umur sembilan tahun, lihatlah bakat yang ada pada mereka. Jika ada yang bersuara merdu bolehlah mengasah bakat  dan dipertajamkan. 

Komentar :

ada 0 ulasan ke “Membudayakan Al-Quran dikalangan Remaja”

Catat Komen

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

© 2009 Fresh Template. Powered by Blogger.

Fresh Template by NdyTeeN.